Mereka yang diisytihar muflis atau bankrap oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia tertakluk di bawah undang-undang kebankrapan yang lebih dikenali sebagai Akta Kebankrapan 1967. Akta ini ada memperuntukkan undang-undang di mana sekiranya individu muflis atau bankrap itu didapati melakukan kesalahan berbentuk jenayah, bankrap tersebut boleh dituduh di Mahkamah Sesyen dan sekiranya dibuktikan bersalah, boleh disabitkan hukuman penjara. Bahkan sekiranya Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia mengambil tindakan memfailkan permohonan komital iaitu peruntukan yang merupakan satu penghinaan kepada Mahkamah, bankrap tersebut boleh disabitkan hukuman penjara mengikut budi bicara Mahkamah.
Benar, ternyata bankrap bukanlah seseorang yang boleh disamakan dengan penjenayah sehingga perlu dihukum penjara tetapi perlu difahami bahawa undang-undang tidak mengira sama ada seseorang itu kaya atau miskin, yang paling penting adanya bukti-bukti yang menunjukkan seseorang itu bersalah atau/dan berlaku pengakuan salah oleh seseorang itu. Mahkamah merupakan institusi kehakiman yang membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang.
Mungkin perlu juga ditekankan di sini bahawa bukan senang untuk memastikan seseorang bankrap itu bercakap benar ataupun tidak, sama ada mampu bayar atau sengaja tidak mahu membayar.
Ada pihak yang mencadangkan "Rehabilitation" atau Pemulihan terhadap bankrap sebelum dan semasa dalam tempoh kebankrapan dan memperbaharui Akta. Peluang kedua perlu diberikan kepada bankrap untuk meneruskan kehidupannya.
Mereka yang berhutang perlu mendidik diri dan keluarga supaya sentiasa beringat dan bersedia menghadapi risiko dibankrapkan sekiranya gagal membayar hutang kepada pemiutang. Bagi penjamin hutang, niat nak menolong sahabat baik atau saudara mara mungkin akan menimbulkan risiko dibankrapkan dan diri sendiri akan menanggung akibatnya. Ingat institusi kewangan boleh memulakan prosiding kebankrapan sekiranya hutang mencecah RM30,000.00 dan ke atas dan fikirkan tentang kadar faedah (riba') yang dikenakan sehingga pembayaran dibuat. Pastikan untuk menggelakkan dikenakan tindakan tersebut, hutang dikemaskini selalu dan di bawah paras RM30,000.00 dan usaha berjumpa AKPK segera.
Jangan ambil mudah dengan menyerahkan atau 'menjual' kereta kepada sahabat handai atau saudara mara untuk sambung bayar tanpa sebarang dokumen yang sah di segi undang-undang dan tidak memantau pembayaran. Ingat, hutang tak kenal kepercayaan kepada sesiapa. Ingat, kerana hutang, hubungan kekeluargaan boleh berpecah belah apatah lagi hubungan persahabatan. Ini zaman pemikiran moden, pemikiran lama yang negatif perlu dibuang. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih berhutang. Dalam satu hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasai dan Ibn Majah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya".
Sentiasalah berdoa supaya dijauhkan dan dibebaskan dari belenggu hutang. Tunaikan tanggungjawab membayar hutang dalam mencari keredaan Allah Subhanahuwataala.
Allah Subhanahuwataala berfirman dalam Surah Al-Maidah:1,
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian".
No comments:
Post a Comment